MISTERINYA TORAJA


Stori ni x publish ntah kena peram dgn kl da setengah tahun terperam.. so aku publish dalam blog ja la utk org baca...


PIX/VIDEO/TEKS NORASIKIN DAINEH
norasikin_daineh@nstp.com.my

Toraja (Indonesia): Disebalik keindahan dan cuacanya yang dingin di tanah Toraja, Sulawesi Selatan, tersimpan seribu cerita misteri dan adat yang unik masih diamalkan etnik Toraja sehingga kini.

Antaranya menyimpan mayat dirumah adat dan mayat itu dilayan seperti orang biasa yang sakit dipanggil Tomakula' sehingga upacara ritual selesai untuk pemakaman sebelum diabadikan di suatu tempat khas dan selepas itu baru ia dianggap sudah meninggal dunia.


 Bagi kita di Malaysia, ia satu perkara yang mustahil dilakukan. Namun bagi kaum Toraja ia dianggap sebagai tanda kasih sayang mereka kepada ahli keluarga terutamanya ibu bapa yang sudah meninggal dunia.

Menurut Rudy Tolinggi, 33, dia sudah biasa dengan adat itu dan walaupun prosesnya sukar namun ia harus dipertahankan kepada generasi akan datang supaya adat itu tidak pupus selain sebagai bukti kasih sayang pada ahli keluarga mereka.

"Kami orang Toraja tidak rasa terbeban dengan prosesnya itu kerana sudah biasa dan ia harus dijalani bagi setiap ahli keluarga yang mengalami kematian.

"Bagi kami, ia adalah nilai kasih sayang kami kepada orang tua yang sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Tonga, Toraja Utara, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu menjaga jenazah bapanya yang diletakkan di rumah Toraja sejak setahun lalu dan kini mereka dalam proses melakukan persiapan untuk upacara pemakaman yang akan dilakukan pada Disember depan.

"Persiapannya sudah hampir dua bulan dilaksanakan antaranya mengumpul kerbau dipanggil Manrarak Tedong dan persiapan pembinaan rumah toraja iaitu alang turut dilakukan di perkarangan rumah bagi mereka yang mahu melakukan upacara itu.

"Proses mengumpul kerbau memerlukan kos dan setakat ini kami mempunyai 17 ekor kerbau dimana setiap seekor bernilai 25 juta (RM700) dan secara keseluruhannya kosnya boleh mencecah sehingga ratusan ribu rupiah.

"Upacara ini akan dilaksanakan selama empat hari iaitu pada hari pertama upacara Ma'pasonglo. Dalam upacara ini, mayat dibawa dari rumah (tongkonan) menuju ke lakkiang sebelum mayatnya diarak ke kampung.

"Esoknya pihak keluarga mula menerima tetamu terdiri daripada sahabat dan saudara mara dan hari ketiga pula upacara menyembelih kerbau serta dagingnya dihidangkan kepada tetamu. Pada hari terakhirnya pula upacara pemakaman iaitu jenazah dihantar ke Liang (makam) Patane iaitu makan yang sudah menggunakan simen.

Tambah Rudy lagi, menurut kepercayaan kaum Toraja, sebaik cukup perbelanjaan dan upacaranya selesai baru mayat itu diabadikan menuju ke Puya (syurga).

"Sebelum ini (ketika proses mengumpul wang untuk upacara), mayat mereka dilayan seperti biasa, iaitu diberi sarapan makan dan minum seperti biasa dan mereka dianggap sebagai orang yang sakit (tomakula').

"Saya sendiri juga melakukan perkara yang sama terhadap bapa saya iaitu dengan bersembang dengannya setiap kali menghantar makanan selain bertanya khabar padanya.

"Malah saya juga menjaganya setiap hari selain ahli keluarga yang lain kerana ia masih dianggap seorang yang sakit sehingga upacara selesai baru dikatakan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya lagi, ada juga mayat disimpan sehingga bertahun-tahun di rumah bagi etnik Toraja kerana disebabkan masih dalam proses mengumpul wang termasuk kerbau yang banyak sebelum upacara pemakaman dilakukan.

"Setakat ini ada sehingga 20 tahun mayat disimpan di rumah sebelum upacara dilakukan dan proses mengumpul kerbau yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi menyebabkan proses ini memakan masa yang lama," katanya.

Dorce Rampun, 66, ibu kepada Rudy berkata, suaminya sudah meninggal selama setahun disebabkan masalah kesihatan di bahagian ginjal.

"Dia meninggal dunia di hospital dan selepas meninggal dunia, sebaik dibersihkan, mayatnya diawet melalui suntikan sehingga mampu bertahan sehingga kini.

"Walaupun sudah tidak bernyawa, kami masih melayannya seperti biasa dengan memberi makan tiga kali sehari selain turut bercerita dengannya," katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong, Mursyid Wajuanna, 31, berkata upacara ritual itu perkara biasa di Toraja dan meskipun mereka majoriti beragama Kristian
tetapi masih berpegang teguh dengan kepercayaan nenek moyang mereka yang disebut 'Aluk Todolo'.

"Tanah Toraja terkenal dengan pelbagai amalan yang unik ini dan mereka masih percaya dengan Aluk Todolo iaitu tidak menanam mayat di dalam tanah dan mereka mempunyai empat atau lima makam.

"Mereka menyimpan mayat di gua, Erong (peti mayat), batu yang dipahat atau dibuat lubang, Patane (makam yang dibuat daripada simen seperti rumah dimana dalam makam itu boleh muat lebih daripada dua orang dan terakhir 'baby grave' disimpan dalam pokok tara atau cempedak.

"Biasanya bayi yang dimakamkan di dalam pokok adalah bayi yang masih belum ditumbuhi gigi dan diletakkan dipokok itu kerana dipercayai mengandungi air atau getah sebagai penganti susu ibu.

"Dipercayai juga, kedudukan tempat pemakaman bayi juga menunjukkan kelas atau darjatnya sama ada dari golongan bangsawan atau sebaliknya.

"Bagaimanapun, dikebanyakkan tempat adat ini sudah tidak diamalkan dan bayi yang meninggal dunia kini sudah dikubur mengikut agama Kristian yang mereka anuti," katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong dengan Kementerian Pelancongan Republik Indonesia berkolaburasi dengan PT Artha Inti Komunika.

Mursyid berkata, bagi penduduk Toraja, tanah bukan tempat untuk pemakaman manusia kerana tanah adalah untuk pokok. Jadi setiap dua atau tiga tahun sekali mereka akan mengeluarkan mayat itu untuk dibersihkan dan sekiranya di dalam tanah sudah tentu ia sukar dilakukan.

"Bagi saya pendedahan ini adalah untuk memberi pengenalan produk pelancongan yang ada di Toraja termasuk perkara mistik yang masih diamalkan oleh penduduknya.

"Dengan memperkenalkan produk pelancongan kami, sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara selain menambah pendapatan rakyatnya.

"Dalam masa sama, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim kerana kita adalah serumpun tidak mudah untuk berselisih faham dengan isu yang sensitif," katanya.

tamat


Beberapa pix dan video yang aku ambil sendiri..



 mayat yang disimpan di dalam rumah sebelum upacara ritual untuk disemadikan di suatu tempat lain...

 persiapan untuk upacara ritual termasuk membina beberapa rumah toraja
 kampung yang kami lawati untuk melihat mayat yang disimpan di rumah sebelum upacara dilangsungkan pada disember tahun lalu.
 lokasi perkuburan bayi bagi masyarakat toraja
 salah satu tempat persemadian bagi masyarakat toraja

kami berpeluang melihat sendiri mayat yang sudah lama diletakkan di rumah toraja sebelum upacara ritual dilangsungkan.




Comments

Popular posts from this blog

ILMU KAUM BISAYA... MUDAH DIAMALKAN...TAPI BAHAYA UTK ORG RAMAI...

biar mati anak, jangan mati adat...

Operasi oh operasi...